Pages

Kepada kalian kukirimkan salam terindah, salam sejahtera para penghuni syurga. Salam yang harumnya melebihi kasturi, sejuknya melebihi embun pagi. Salam hangat sehangat sinar mentari waktu Dhuha. Salam sesuci air telaga Kautsar yang jika diteguk akan menghilangkan dahaga selama-lamanya. Salam penghormatan, kasih dan cinta yang tiada pernah pudar dan berubah dalam segala musim dan peristiwa:~SaLam UkuwwAh fiLLah:

Wednesday, November 4, 2009

Jalan Impianku-Muslimah Harapan

"Menyelak buku yang dihadiahkan oleh seseorang, ”Wanita Solehah – Kedudukan dan Personaliti Serta Ciri-cirinya” hati tersenyum namun gusar di hati sukar untuk ditafsir. Mampukah diri ini bergelar wanita solehah? Mampukah diri ini menjadi wasilah kepada sebuah pembentukan usrah muslim untuk mentarbiyyahkan anak-anak dan keluarga dengan berpandukan AlQuran dan as sunnah? Benar, tanggungjawab itu terlalu berat, maharnya terlalu mahal untuk meraih syurga di sana.


Dengan arus kehidupan globalisasi, mehnah seringkali menggoyah kekuatan diri. Andai tiada sandaran yang ampuh, sudah pasti diri ini akan rebah akur dengan kehendak duniawi.Hati seringkali menangis melihat muslimah sekarang. Sekalipun kemajuan dan kemewahan terhampar namun ia membuatkan kita semakin jauh daripada keberkatan dan rahmat kasih sayangNya. Kita dilalaikan dengan ehwal duniawi, sedangkan janjiNya adalah pasti! Dunia sudah tua benar! Ia hanya menanti masa tunggu dipulihkan dengan tiupan sangkakala.


Tika dan saat itu, adakah kita dijanjikan untuk taubat yang akan diterima? JanjiNya itu pasti! Mati juga pasti! Sesungguhnya kita tidak pernah dijanjikan umur yang beratus tahun. Jadi, di manakah titik persetujuan bahawa kita perlu menunggu usia emas untuk bertaubat dan beribadah menutup lompang kejahilan di usia muda? Tiada perjanjian itu!


Ana, dan saudari semua takkan tahu bila ajal kita akan datang. Tahukah kita, malaikat maut sentiasa menziarahi kita. Kunjungan hormat, walaupun tiada terzahir oleh mata zahir namun hati mampu merasainya. Jika hari ini adalah hari terakhir kita di dunia ini, sudah bersediakah kita untuk mengadapNya? Berapa banyak amal yang telah tersedia sebagai bekalan selamat di sana? Sudahkah kita tunaikan hak diri kita sepanjang usia kita? Aurat, akhlak, amalan ibadah… bagaimanakah timbangan semuanya itu? Cukupkah untuk kita berlalu pantas pada titian sirat? Ataupun kita perlu merangkak, lantaran bekalan kita terlalu naif.



Saudariku tersayang, atas dasar kasih sayang ini, ana memohon muhasabahlah diri. Tiada manusia yang akan sempurna, namun bukan satu perkara yang salah untuk kita sentiasa berubah ke arah kesempurnaan. Renung-renungkanlah. Adakah aurat kita terjaga? Pakaian kita adakah seperti yang islam anjurkan? Akhlak kita adakah mengikut lunas syariat? Siapakah turutan keutamaan dalam amalan kehidupan kita? Ketahuilah, Islam adalah agama yang syumul dan ia takkan menyusahkan pengikutnya! Ayuh, lapangkan hatimu. Lihatkan keindahan Islam yang tersedia buatmu muslimah. Setiap perkara yang islam bahaskan adalah demi kebaikanmu.


Jadilah muslimah yang menjadikan Deen sebagai pakaiannya, jadikan malu itu sebagai kehormatanmu. Janganlah cemarkannya. Ketahuilah jua, dirimu dan diriku adalah wanita istimewa, nilaian wanita muslimah terlalu mahal. Sanggupkah kita merendahkan mahar yang semahalnya itu dengan akhlak yang buruk, dengan pakaian kita yang tidak menutup aurat, dengan tindakan kita yang kurang sopan.


Islam ditegakkan atas darah syuhada, jangan cemarkan darah itu dengan ketaksuban kita kepada kemajuan yang tiada keseimbangan rohaniyyah. Seandainya di suatu malam, air mata kita menitis kerana kita insaf, bergembiralah wahai temanku. Itulah khabaran gembira, Dia sudi memberikan hidayahNya yang tidak pernah siapa menjangka.


Berubahlah ke arah kebaikan, sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka buatmu. Seandainya ada dosa-dosa lalu, Dia menjanjikan keampunan pada mereka yang sentiasa bertaubat. Biarkan kemungkaran lalu menjadi mimpi buruk buat kita, hiduplah dalam alam nyata, bahawa dirimu muslimah terlalu indah untuk dipertontonkan di khalayak.


Diri ini akan menjadi insan paling gembira jika titipan mesra ini dibaca oleh muslimah, lalu ia muhasabahkan dirinya. Berubahlah demi kebaikan, kerana dirimu dan diriku jua berhak meraih syurga firdaus yang dijanjikanNya!


Ameen..Bi Iznillah Ya Rabbana..


"







0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 **KH@ZIN@TUL ASR@R**. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Download Royalty free images without registering at Pixmac.com