Sunday, May 20, 2012
AHLAN WASAHLAN ...REJAB...
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:
a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat
bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam
bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut
oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab,
Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram….Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat.
Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang
yang memiliki keutamaan.
b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab
kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:
Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat
Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, namun
hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama’ mengatakan
hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun
agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan
sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian,
sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini
adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu
hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan.
Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang
biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa
hadis tersebut adalah dusta.
c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita
sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca.
Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku
di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang
hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.
Shaikh al-Sayid Saabiq:
Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang
masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:
Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang
melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya
memiliki fadilat yang sama darjatnya.
Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam
bulan Rejab?
Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan
apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan
mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh, bahawa
seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau
perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu
ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana
sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima
taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”
Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat
pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.
Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti
besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:
Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat)
pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb
Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin
berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa.
Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan
Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah
baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga
dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi
menulis:
Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul
(diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan
daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada
keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan
(yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan
Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah
Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan
Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat
dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak
berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh
sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang
kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada
bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan
menamakannya “Al-Ayam Al-Baidh” selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu
perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6
hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id
(1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal
umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari
dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah
pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi
terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang
sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tidak berpuasa
pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa
sunat). Wa Billahi Tawfiq.
Kesimpulan
1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya
adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis
ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam.
2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam
tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah
(al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).
3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab
memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan
haram.
4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan
solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan
Rejab.
Pemberitahuan:
Petikan ini saya ambil dari sumber internet untuk dikongsi bersama kepada
pembaca saya, jika anda rasa ianya tidak betul, sila beritahu kepada saya
manakah yang benar atau salah. Saya akan baiki..Terima kasih.
Thursday, May 17, 2012
Doa Dari Al-Quran Untuk Kebaikan Zuriat
~PERMATA HATI UMMI...~
Ibubapa yang soleh boleh memberikan contoh yang baik kepada anak-anak..
Setiap yang bergelar ibu bapa ingin memiliki anak, zuriat atau keturunan yang boleh membuatkan hati rasa gembira dan bahagia. Dan sudah tentulah ukurannya pasti kita lihat dari sudut agama kerana ukuran agama lebih abadi sifat dan kesannya.
Pernah seorang ibu bertanya kepada saya apakah yang harus dibuat untuk membentuk anak-anak supaya menjadi soleh?
Saya yang merupakan seorang ibu muda dan belum banyak pengalaman berasa agak malu untuk menjawab, sekadar mengatakan bahawa ibu bapa mesti mendidik anak-anak dengan akhlak yang soleh dan harus memberikan contoh yang baik. Kerana anak-anak banyak mencontohi tauladan dan perbuatan dari ibu bapa mereka. Disamping itu, jangan lekang dengan do’a kerana selepas usaha dan ikhtiar, harus kita menyerahkan urusan kita kepada ALLAH. Hidayah dan taufiq untuk anak-anak adalah haq ALLAH.
Teringat akan hal di atas maka hari ini, saya baca buku ‘Didik Anak Cara Rasulullah s.a.w yang ditulis oleh Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid terbitan KBC dan alhamdulillah ada disenaraikan doa-doa berkaitan kebaikan keluarga dan zuriat yang dipetik dari al-Quran yang mulia.
Berikut adalah doa-doanya:
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا
أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.” (Al-Baqarah : 128)
رَبِّ هَبْ لِي
مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ
سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Maksudnya: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (Ali-Imran : 38)
رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ
أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ
Maksudnya: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” (Ibrahim : 35)
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي
رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Bermaksud: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Ibrahim : 40)
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ
يَقُومُ الْحِسَابُ
Bermaksud: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim : 41)
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ
أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Bermaksud: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan : 74)
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي
أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ
صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي
إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Bermaksud: “Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf : 15)
Mudah-mudahan kita dapat beramal dengannya dan dikurniakan kita semua dengan zuriat yang soleh dan solehah, amin.
wAllahu Ta’ala A’lam.